Satu hari, dia termenung seorang diri. Dia bertanya dalam hati, ' Untuk apa aku diciptakan di dunia ini? Adakah aku ini layak untuk hidup di bumi ini atau hanya memenuhkan ruang yang terbentang luas ini? Aku rasa aku tidak layak hidup di dunia ini.' Bila dia lihat diri sendiri, dia terasa amat rendah diri dan kerdil. Dia merasakan dirinya tergolong di kalangan orang yang boleh dikatakan tidak mempunyai bakat langsung. Selalu dia membandingkan diri dengan orang lain, malah pernah membandingkan diri dengan orang yang dia sayang. Memang terasa amat kerdil. Belum lagi dibandingkan dengan orang-orang lain.
Semasa belajar, dia bukanlah dikategorikan sebagai budak pandai, atau pun orang kata budak pick up. Jika orang lain, dengan baca sedikit masa sahaja boleh 'melekat' di kepala. Dia terpaksa mengulangkaji banyak kali, hanya pada topik yang sama. Jika orang lain dah sampai Z, dia baru je sampai M (tengah-tengahlah). Dia rasa dirinya tidak berguna. Kena berusaha lebih dari orang lain.
Dia lupa setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah, walaupun dia lembap, dia mendapat orang itu. Orang itu yang tangkas dan dapat menunjuk ajar tentang cara hidup yang serba mencabar ini. Kadang-kadang jika orang itu tidur, dia merenung dalam-dalam pada muka dan mata orang itu Dia berbisik sendirian, 'Ya Allah, terima kasih kerana menganugerahkan aku pasangan yang dapat membimbingku di dunia dan akhirat.' Dia selalu berdoa, biarlah dia mati dahulu sebelum orang itu. Dia tidak sanggup! Memikirkannya sahaja pun tidak sanggup!
Jika orang itu sakit, walaupun dia berbuat seperti biasa, tetapi hatinya berdebar-debar dan fikiran negatifnya berlegar-legar dalam otak. Apa yang akan berlaku jika orang itu tiada? Apa yang akan dia lakukan dalam dunia ini jika orang itu tiada? Orang kata, patah tubuh hilang berganti. Tetapi bolehkah diganti serupa dengan orang itu? Muka, bibir, tutur kata serta tingkah laku seperti orang itu? Tentu tiada! Orang pernah kata, tiada yang sempurna di dunia ini. Memang tiada yang sempurna. Tetapi selepas kehadiran orang itulah dia rasa sempurna.
Naluri manusia selalu mencari kelemahan orang lain dan tidak kelebihannya. Dan itulah yang boleh menyebabkan pergaduhan dan perselisihan faham. Tapi bila dia menjauhkan dan mengasingkan diri, dia kenang kembali perkara baik yang pernah orang itu lakukan padanya. Terus sahaja air mata berlinangan dan merintih, 'Ya Allah, iblis apakah yang merasuk fikiranku?' Dia terus memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana mengurniakan pasangan seperti orang itu.
Jika orang itu membaca rintihannya, adakah orang itu tersentuh hati atau pun tertawa? Tidak kisahlah apa reaksi orang itu, janji dia tahu selain keluarganya dan keluarga orang itu, orang itulah sahaja yang ikhlas dan setiap kelakuan orang itu memang ikhlas dari hati dan bukan dibuat-buat.
No comments:
Post a Comment