Tuesday, November 20, 2012

Jambatan Gantung di Bandar Temerloh


Dulu masa kecil, kalau pergi bandar Temerloh, memang tak tahu nak jalan-jalan di mana. Jujur dikatakan tak banyak tempat yang boleh dilawati di bandar Temerloh. Tapi itu dulu. Sekarang alhamdulillah. Selain ada kolam tahfiz, ada juga taman rekreasi dan restoran-restoran yang menghidangkan makanan tempatan. 

Salah satu tempat yang boleh pengunjung lawati ialah Jambatan Gantung di Sungai Semantan. Penduduk tempatan di sini memanggil Titi Gantung. Di Jambatan Gantung ini juga ada menceritakan sejarah terjadinya nama Sungai Semantan. Dahulu tinggal seorang lelaki yang pandai dalam ilmu persilatan yang bernama Osman. Tetapi penduduk di situ memanggilnya Seman. Disebabkan tahap persilatannya yang tinggi, ramai pemuda di sekitar kampung tersebut ingin berguru dengan beliau. Kemasyhuran dan kekebalannya telah menjadi bualan ramai sehingga penduduk menggelarkannya Seman Tahan. Disebabkan kepelatan penduduk, lama-kelamaan tempat tersebut diberi nama Semantan.

Berbalik tentang Titi Gantung, tidak ramai yang tahu akan titi gantung ini kerana titi ini baru sahaja dibina. Tiada bayaran dikenakan. Pengunjung boleh menyeberang titi gantung sebanyak mana yang mereka mahu. Terdapat juga gerai makan dan gerai mainan untuk kanak-kanak. 

Memang seronok menyeberang titi tersebut. Tetapi ada satu perkara yang kurang menyenangkan iaitu tentang kebersihan yang kurang terjaga di sini. Kita tidak sepatutnya mengharapkan pihak berkuasa sahaja yang membuang sampah dan menjaga kebersihan. Pengunjung juga mestilah bersama-sama menjaga kebersihan kawasan tersebut memandangkan kawasan tersebut berdekatan dengan sungai.

No comments:

Post a Comment