Tuesday, November 20, 2012

Apam Tepung Gandum

Mesti pelik dengan tajuk ni kan? Selalunya orang akan buat apam menggunakan tepung beras. Tapi yang ini, apam yang diperbuat dari tepung gandum. Resipi ini diambil dari mak. Mak memang pandai mereka-reka resipi. Kepakaran mak, bila dia rasa je sesuatu makanan tu, mak sudah tahu, bahan-bahan apa yang dimasukkan dalam makanan tersebut. Bila mak balik rumah je, mak boleh buat makanan tersebut. Bila tak jadi, mak akan ubahsuai resipi tersebut sampai menjadi. Sayangnya, aku tidak mewarisi kepakaran tersebut. Selalunya aku ni ambil resipi dari mak je atau pun cari di internet dan buku-buku resipi. Dah la tu, ikut bulat-bulat dalam buku tersebut. Tak pandai tukar-tukar. Jauh sungguh dari makku.

Mak ada cerita, masa aku tadika dahulu, aku memang suka apam ni. Tiap-tiap hari minta mak buat bekal apam. Sampai satu hari tu, aku kena gastrik, sampai muntah-muntah. Cikgu tadika tegur mak. Dia kata pagi-pagi, perut tengah kosong jangan bagi makan apam. Makan benda lain dahulu. Tu yang boleh buat sakit perut. Sejak kejadian tu, mak tak pernah buat apam kat aku. Kalau tiba-tiba abah teringin nak makan, barulah mak buat. Itu pun mak buat sorok-sorok. Tak bagi aku nampak. Takut sakit perut pulak. Patutlah Nina suka betul makan apam. Keturunan rupanya...

Ok lah, di sini diturunkan ilmu bahan-bahan dan cara-cara membuat apam tepung gandum...

Bahan-bahan:
1 kg tepung gandum
1 peket mauripan
gula 
air
secubit garam

Cara membuat:
  • Mula-mula kacau mauripan bersama air dan gula. Gula ikut rasa. Jangan terlalu banyak gula. Bila terlalu banyak, apam susah nak naik. Letak dalam 1 cawan dahulu. Kacau bancuhan tersebut sampai butiran mauripan hilang dan mengeluarkan buih.
  • Bila bancuhan sudah sebati, masukkan secubit garam sebagai syarat sahaja.
  • Kemudian masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Pastikan adunan sebati. Tambah air jika perlu. 
  • Kacau adunan sehingga menjadi doh. Jadikan doh seperti membuat cekodok ataupun jemput-jemput. Bila ditarik sudu, dohnya tidak terputus.
  • Bila sudah siap, tunggu sebentar sehingga doh mengembang.
  • Sementara menunggu adunan mengembang, panaskan air dalam periuk kukus. Bila air tersebut mendidih, baru boleh dikukus adunan tersebut.
  • Bila sudah naik dan mengeluarkan gelembung-gelembung udara, adunan tersebut dikacau untuk mengurangkan gelembung-gelembung tersebut.
  • Masukkan adunan dalam bekas yang sesuai. Jangan masukkan terlalu penuh.
  • Kemudian letakkan di dalam periuk kukus. Tunggu dalam satu jam. Jangan buka penutup periuk kukus sehingga siap kukusan selama satu jam. Bimbang apam tidak menjadi dan tidak cantik. 
  • Bila sudah sejuk, bolehlah dimakan..Nyum2...

Apam dah nak habis, baru terfikir nak tangkap gambar. Suka betul Nina makan apam. Tengah-tengah malam pun minta Tok Wan buat lagi. Ish2...

No comments:

Post a Comment