Tuesday, December 18, 2012

Cara Mendidik Anak Menurut Islam


Pendahuluan
Menurut perspektif Islam, pendidikan kanak-kanak ialah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka berteraskan nilai-nilai baik yang bersumberkan Al-Quran, Hadis dan pendapat serta pengalaman para ulama. Ia bertujuan melahirkan " Insan Rabbani" yang beriman, bertakwa dan beramal soleh. 
Falsafah pendidikan sebenarnya menekankan aspek rohani dan jasmani, sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yaang terdiri daripada roh dan jasad. Ianya melibatkan beberapa peringkat, bermula dari dalam kandungan sehinggalah ia lahir dan menjadi dewasa.

Membentuk Dunia Kanak-kanak
Sebelum anak-anak dilahirkan, ibubapa menyediakan tempat yang sesuai untuk membesarkan anak dengan sebaik-baiknya. Ini bermakna dunia kanak-kanak setelah dilahirkan ialah rumah ibubapa itu sendiri. Untuk mencapai kesempurnaan hidup kanak-kanak, ibu-bapa perlu membentuk suasana harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan rumahtangga terlebih dahulu.
Jika pasangan suami isteri menghayati nilai-nilai keislaman dalam kehidupan rumahtangganya, mudahlah ia mendidik anak-anaknya dengan benih-benih Islam. Sebaliknya, jika pasangan suami isteri gagal menerapkan nilai-nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumahtangga, sukarlah bagi mereka mentarbiyah anak-anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.
Atas itulah Rasulullah S.A.W mengingatkan bakal-bakal suami agar memilih bakal isteri yang mempunyai kesungguhan dan penghayataan agama, bukan kerana paras rupa, keturunan atau harta semata-mata. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
" wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia menguntungkan kamu(lebih utama)"



Ketika Anak Dalam Kandungan
Proses pendidikan mula berlaku ketika bayi masih berada dalam kandungan ibunya. Pendidikan pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian, iaitu:


1) Bagi ibu-ibu yang mengandung digalakkan supaya memper-banyakkan bacaan Al-Quran terutama surah Yusuf, Mariam, Luqman dan At-Taubah.


2) Ibu hendaklah sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T agar anak yang bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.


3) Ibu bapa hendaklah mendapat rezeki daripada sumber yang halal supaya benih yang bakal dilahirkan itu nanti datang daripada darah daging yang halal.


4) Ibu hendaklah makan makanan yang berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri hendaklah diutamakan bagi menjamin kesihatan anak-anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititik beratkan oleh Islam sehingga Islam memberikan kelonggaran kepada ibu yang mengandung untuk berbuka puasa sekiranya merasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.


5) Ketika mengandung, ibu perlulah menyesuaikan diri dengan perubahan perubahan yang berlaku kepada dirinya. Pada waktu begini sememangnya keadaan ibu agak berbeza dari waktu - waktu biasa, terutamanya bagi ibu yang bakal melahirkan anak yang pertama. Mungkin selera makannya hilang, perasaan agak terganggu(sensitif) dan hatinya boleh berdebar-debar kerana bayi dalam kandungannya itu adalah sebahagian daripada dirinya. Ketika ini para suami hendaklah lebih memahami keadaan isteri serta memberi dorongan yang kuat kepadanya

Setelah Anak Dilahirkan
Setelah anak dilahirkan, hendaklah segera diazankan telinga kanannya dan diiqamatkan telinga kirinya.
Abu Rafi meriwayatkan sebuah hdis yang bermaksud:
" Aku melihat sendiri Rasulullah S.A.W mengazankan Hasan B. Ali pada telinganya ketika ia baru dilahirkan oleh Fatimah r.a"
(Riwayat Abu Daud dan Termizi)
Sebagai suapan yang pertama, sunat bayi disuapkan dengan manisan seperti madu dan kurma. Abu Musa Al Asyari r.a. dalam sebuah riwayat mengatakan:
"Isteriku melahirkan seorang anak. Bayi itu ku bawa kepada Rasulullah S.A.W.. Baginda menamakannya Ibrahim, kemudiannya disuap dengan buah kurma(yang telah dilumatkan) setelah itu baginda mendoakan keberkatan baginya lalu bayi itu diserahkan kembali kepadaku".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pada hari ketujuh kelahirannya, ibu bapa disunatkan bersedekah dengan melakukan ibadah aqiqah untuk anaknya. Seekor kambing bagi anak perempuan dan dua ekor kambing bagi anak lelaki. Rambutnya pula sunat dicukur keseluruhannya supaya kepalanya bersih, otaknya cergas dan rambut barunya tumbuh dengan subur dan sihat.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
"Setiap anak yang baru dilahirkan bergantung kepada aqiqahnya. Hendaklah diaqiqahkan dengan menyembelih kambing pada hari ke tujuh, diberi nama pada hari itu dan dicukur kepalanya".
( Riwayat Abu Daud, Termizi dan Nasa)
Bagi ibu yang menyusukan anak, ia perlu makan makanan yang halal, bersih, dan berzat. Ketika menyusukan anak, hatinya hendaklah selalu mendoakan kejayaan anaknya. Ketika hendak tidur, dodoikan (lagukan) dengan kalimah memuji Allah dan Rasulnya seperti nasyid dan sebagainya.
Apabila anak sudah mulai pandai bercakap, hendaklah membiasakannya dengan percakapan yang baik-baik seperti selawat, zikir dan lain-lain perkataan yang seumpamanya.

Peringkat Umur antara 5 hingga 7 tahun. 
Pada peringkat umur antara 5-7 tahun, memerlukan teknik pendidikan yang lebih luas dan menyeluruh. Pengisian antara keperluan rohani dan jasmani perlu didedahkan serentak dan diseimbangkan. Teknik pembelajaran dan pengajaran perlu menggunakan kaedah yang sesuai kerana kanak-kanak biasanya akan belajar(mengikut) berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu disekelilingnya terutama ahli keluarganya.
Menurut pandangan Islam, pada peringkat ini anak-anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca, mengira dan berbahasa. Pendidikan yang wajar didedahkan pada peringkat ini ialah bab ibadah dan akhlak. Misalnya kanak-kanak yang baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan sembahyang. Seterusnya adab-adab yang mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk latihan amali seperti:
1) Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada kedua ibubapanya; timbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibubapa terhadapnya adalah amat besar dan mereka perlu bersyukur kerana menjadi anak yang masih mempunyai kedua ibubapa. Ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara ahli keluarga.


2) Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang yang lebih tua daripadanya; guru merupakan orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu manakala orang yang lebih tua adalah orang yang lebih berpengalaman dan berpengetahuan daripadanya.


3) Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik; anak-anak hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan yaang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan pendengarannya, ia mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya. Sebab itu jika ibubapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah menggunakan bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa yang kesat, kasar dan keras.


4) Mengajar anak-anak adab bergaul dengan rakan-rakan; anak-anak harus dinasihatkan agar tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang lain .


5) Mengajar anak adab makan minum yang baik; sifat atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah ditegah, sebaliknya anak-anak dilatih dulu dengan adab-adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan sesudah makan.


6) Mengajar anak adab berpakaian; pakaian yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.



7) Mengajar adab dan bangun daripada tidur; sebaiknya hendaklah mengadap qiblat, membersihkan diri sebelum dan selepas bangun daripada tidur.


8) Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas, anak-anak perlu diajar cara membuang air kecil/besar dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, menutup kepala,membelakangkan qiblat dan sebagainya.

Kesimpulan
Anak-anak merupakan amanah Allah yang perlu dididik dengan sebaiknya sejak ia kecil lagi supaya apabila besar kelak menjadi anak yang soleh dan sentiasa taat kepada kedua ibubapanya. Mereka ibarat kain putih dan ibubapa lah yang berperanan mencorak dan melukiskannya dengan warna-warna menarik yang menjadi amalan dan cara hidup Islam.

 - Sumber dipetik dari http://islam-hidupku.blogspot.com/2009/07/mendidik-anak-anak-menurut-islam.html

Monday, December 17, 2012

5 Tip Kecilkan Peha


Selain perut, bahagian peha antara yang sukar untuk dkecilkan namun mudah pula untuk membesar. Justeru agar paha sentiasa kecil sesuai dengan tubuh anda, amalkan senaman berikut. Mudah saja!

1) Menaiki tangga
Pilih menaiki anak tangga berbanding menaiki lif antara pilihan senaman yang mudah dan murah. Ia boleh membantu menurunkan lemak peha dan juga meningkatkan metabolisme sehingga otot akan bekerja lebih efektif dalam memangkas lemak.

2) Berjalan cepat
Aktiviti ini antara salah satu latihan kardio. Setiap langkah dapat membakar kalori sekaligus meningkatkan kesegaran tubuh. Lakukan aktiviti ini selama 15-30 minit.

3) Berbasikal
Aktiviti ni membuat otot kaki lebih kuat dan meningkatkan stamina serta ketahanan otot-otot peha.

4) Berjoging
Berlari juga boleh dikatakan sebagai bentuk latihan ketahanan otot kaki. Setiap langkah larian akan menguatkan otot kaki dan peha. lakukan secari rutin sekurang-kurangnya 30-60 minit setiap hari.

5) Minum air putih mencukupi
Air membantu melancarkan metabolisme tubuh. Ini kerana dehidrasi atau kekurangan cairan merupakan keadaan yang boleh mengganggu metabolisme tubuh untuk mengubah lemak menjadi tenaga. Langkah terbaik, pastikan anda tidak minum hanya apabila berasa dahaga. - Sumber Mingguan Wanita

Monday, December 10, 2012

Peria Pahit Tapi Berkhasiat


Peria merupakan sejenis sayuran yang agak pahit rasanya. Kebanyakan orang tidak menggemarinya. Namun ia mempunyai khasiat yang tinggi. Peria mempunyai pelbagai khasiat termasuk protein, lemak, mineral, serat, karbohidrat, vitamin dan kalsium. 
Peria digunakan untuk merawat penyakit kencing manis. Caranya minum perahan daripada empat atau lima biji peria setiap pagi. Biji yang dihancurkan boleh dicampur ke dalam makanan. Selan itu, ia boleh dijadikan air rebusan atau serbuk.

Daunnya pula boleh merawat buasir. Caranya, campurkan perahan daun peria ke dalam segelas susu dan minum setiap pagi selama sebulan. Akar yang dihancurkan boleh disapu pada tempat buasir.
Peria juga boleh mengatasi masalah darah kotor yang menyebabkan bisul, kudis buta dan rasa gatal. Yang perlu dilakukan, campur segelas perahan peria dan secamca teh perahan limau. Ia perlu diminum sedikit demi sedikit setiap hari selama empat hingga enam bulan.
Masalah ketagihan alkohol juga boleh diatasi dengan meminum air daun peria. Ia juga boleh mengatasi masalah hati disebabkan pengambilan alkohol berlebihan. 
Walaupun kurang digemari, peria mempunyai nilai perubatannya sendiri. Ia mengandungi tonik bertindak sebagai julap dan mampu meningkatkan selera makan. Untuk mengurangkan rasa pahit, rendam ia ke dalam air garam sebelum dimasak.

Khasiat makanan:
  • Buahnya yang belum masak dijadikan sebagai sayur yang digoreng, dibuat sup, dikukus, direbus, masak kari dan sebagainya.
  • Buah, pucuk dan bunganya dijadikan sebagai perisa dalam masakan.
  • Buahnya boleh dijadikan sebgai jeruk, dikeringkan dan ditinkan.
  • Mengandungi khsiat makanan kerana mengandungi banyak mineral dan vitamin.
  • Isi yang meliputi biji peria boleh dibuat manisan.

Khasiat ubat-ubatan:
  • Semua bahagiannya boleh dijadikan sebagai jus sebagai ubat luaran untuk penyakit kulit, serta dimakan bagi mengubati penyakit artritis, demam panas, masalah hati, reumatisme, asma, membunuh cacing dalam perut dan usus serta masalah kaum wanita.
  • Sebahagian bahagian tumbuhan boleh membantu melawaskan buang air besar.
  • Buahnya dimakan atau direbus sebagai ubat herba antimikrob, antitumor, membunuh cacing dalam perut dan usus, cirit-birit, mengecutkan otot, minuman tonik, tonik perut, ubat kencing manis, merawat kulit terbakar, luka-luka, dan sakit perut.
  • Buah yang dimasak sebagai lauk boleh mengubati batuk, bengkak sistem pernafasan dan banyak kahak. Jus buah hijaunya diminum bagi mengubati cirit-birit dan bengkak usus besar.

Friday, December 7, 2012

Terapkan 5 ilmu Urus Wang pada Ahli Keluarga

Dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa kini, pengurusan kewangan merupakan perkara yang amat penting lebih-lebih lagi buat mereka yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Konsep kewangan ini sebenarnya tidak terhad pada suami semata-mata, malahan melangkaui isteri dan anak-anak.

Anda pasti sudah mempunyai asas pegangan kewangan yang kukuh. Namun bagaimana pula peranan keluarga anda? Mereka juga perlu dididik dengan pengurusan kewangan yang bijak demi kelangsungan hidup di masa akan datang. Jika mereka tiada nilai kasih pada wang, maka kewangan mereka juga akan terus hilang keupayaannya. Oleh yang demikian, berikan pengetahuan buat keluarga anda tentang cara pengurusan kewangan agar mereka lebih menghargainya.

1. Terap nilai dan asas yang kukuh
Ramai ibu bapa gagal mendidik anak-anak tentang asas pengurusan kewangan kerana lebih menumpukan kepada pelajaran dan kehidupan asas semata-mata. Mereka seolah-olah membiarkan anak-anak terus berbelanja dengan memberikan apa sahaja yang diminta oleh anak-anak. Perkara inilah yang perlu diubah. Didik anak-anak anda tentang kepentingan kewangan dan cara berbelanja secara berhemat sama seperti anda mengajar mereka bersolat, membaca dan sebagainya. Sampaikan kepada mereka tentang kepentingan menabung dan elakkan pembaziran.
2. Hargai duit
Anak-anak zaman sekarang tidak lagi melihat ibu bapanya bersusah payah mencari rezeki. Bagi mereka, ibu bapanya mampu  menyediakan segala keperluan dan kehendak dirinya. Mereka menganggap wang itu mudah diperoleh pada bila-bila masa sahaja. Jika anda memberi alasan tidak ada wang untuk membeli alasan tidak ada wang untuk membeli, pasti dia akan mempersoalkannya. Jika anda sebagai ibu bapa tidak menerangkan kesukaran untuk mendapatkan wang, nescaya mereka akan terus berfikir bahawa wang itu mudah diperoleh biarpun mereka telah dewasa kelak. Justeru, ceritakan pada anak-anak bagaimana anda bersusah payah bekerja untuk mendapatkan duit agar mereka lebih menghargainya.

3. Disiplinkan cara berbelanja
Baik buat anak-anak atau isteri anda, penekanan aspek disiplin dalam soal berbelanja dan menguruskan kewangan adalah keutamaan yang perlu dilaksanakan. Bagi si isteri misalnya, minta agar dia memberikan keutamaan terhadap perbelanjaan rumah yang perlu sahaja. Cuba elakkan daripada berbelanja ke arah pembaziran seperti memanjakan anak dengan kemewahan. Bagi anak-anak pula, didik diri mereka agar berdisiplin dalam konteks menyimpan wang dalam akaun simpanan atau tabungan di rumah. Beritahunya agar wang belanja itu jangan dihabiskan sebaliknya perlu disimpan sekurang-kurangya 50 sen sehari ke dalam tabung. Apabila mereka telah biasa dengan tabiat ini, maka secara automatiknya mereka mampu mengawal diri daripada membazir dan belajar berbelanja mengikut kemampuan diri.

4. Elak Menjadi Generasi Hutang
Pengajian di universiti belum lagi berakhir tetapi hutang pengajian telah pun menunggu. Situasi inilah yang sering dialami ramai generasi muda. Apabila tamat pengajian, mereka bukan sahaja berdepan dengan hutang pengajian, malahan turut terjebak dengan hutang dan sebagainya. Jika perkara ini tidak dikawal dari awal, mereka pasti akan dibelenggu hutang dalam tempoh yang lama. Keadaan ini mungkin akan terus berpanjangan biarpun mereka telah berkeluarga kelak. Oleh itu, sebelum anak-anak anda terjebak dengan masalah ini, bimbinglah mereka tentang kepentingan menabung dan merancang kewangan sejak dari awal lagi. Biarpun anak-anak telah meningkat dewasa, jangan biarkan mereka terumbang-ambing dalam menguruskan kewangan mereka.


5. Tanam sifat pemurah
Biarpun anda menekankan soal pengurusan kewangan yang bijak kepada anak-anak, jangan pula mengabaikan jati mereka terhadap tanggungjawab sosial. Terapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka tentang sifat dermawan dan menolong rakan-rakan yang susah. Inilah masanya untuk anda mendedahkan anak-anak kepada golongan yang kurang bernasib baik agar mereka sentiasa bersyukur di atas segala kesenangan yang mereka miliki Dengan hadirnya sifat dermawan dalam dirinya, maka dia akan membesar sebagai individu yang memiliki sifat terpuji dan sentiasa menghargai erti sebuah kehidupan. - Sumber dipetik dari Mingguan Wanita




Daging Bulgogi

Bahan - bahan :
 500g daging (hiris nipis)
1 biji bawang besar(hiris)
5 ulas bawang putih ( ditumbuk )
2 inci halia (ditumbuk )
1 btg lobak merah(potong memanjang)
4 sb sos soya / kicap cair
3 sb cuka pear / epal
2 sb sos tiram
2 sb gula
1 sb minyak bijan
1 sb bijan
1 sk serbuk lada hitam

Cara - cara :
1. Dalam 1 mangkuk besar, campurkan semua bahan. gaul rata dan tutup, simpan dalam fridge sekurang-kurangnya 2 jam. perap semalaman lagi bagus.
2. panaskan pan. masak tanpa minyak hingga sedikit kering dan daging masak..

Sunday, December 2, 2012

Penjagaan Memakai Hijab


Al-Quran dan sunnah menerangkan mengenai kepentingan Muslimah mengenakan hijab dan kaitannya dengan fitnah yang berlaku dalam masyarakat. Turut dijelaskan kelebihan-kelebihan yang ada pada amalan hijab serta natijah positif yang terhasil daripadanya.

Dalam surah al-Ahzab, Allah menyuruh Rasulullah berdakwah kepada para isteri beliau, anak-anak beliau serta wanita mukminat supaya memakai hijab. Allah berfirman:

Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.
                                                                                                                        (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Dalam Surah an-Nur Allah berfirman:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak kepada saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak kepada saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki supaya diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

                                                                                                                   (Surah An-Nur, ayat 31)

Dengan meneliti ayat ini, kita akan dapati perintah Allah pada mulanya ditujukan kepada mukminat yang menunjukkan hijab adalah satu bukti keimanan. Sebagaimana Allah menggabungkan antara perintah menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan dengan perintah pemakaian hijab kepada Muslimah. Ini juga menunjukkan hijab mempunyai kelebihan-kelebihan dan keistimewaan tertentu. Malah dikatakan keiltisaman hijab adalah bagi mencapai kejayaan.

Wednesday, November 28, 2012

Waktu Yang Sesuai Untuk Bersenam

Saja nak share dengan korang selain boleh memberi peringatan kepada diri sendiri. Selalunya kalau kita nak bersenam, kita main hentam je bila nak bersenam. Tapi tahukah anda masa yang sesuai untuk bersenam. Menurut beberapa pendapat yang saya baca, masa yang sesuai untuk bersenam ialah ketika awal pagi, iaitu sebelum pukul 9.30 pagi. Waktu ini matahari pagi baik untuk kesihatan kerana matahari waktu pagi mengandungi vitamin D, berbanding dengan panas matahari selepas pukul 10 pagi yang boleh menyebabkan kanser kulit. 


Jika anda susah bangun pagi, bersenam pada pukul 6 petang pun sesuai untuk anda. Ini kerana selalunya juga kita tidak berkesempatan melakukan senaman pada waktu pagi disebabkan kekangan kerja dan kesibukan lain yang tidak dapat dielakkan. Senaman pada waktu ini juga sesuai memandang pada waktu ini kita baru habis bekerja dan sesuai untuk menghilangkan stres selepas seharian bekerja.

Ada juga kajian menunjukkan wanita sesuai bersenam dua minggu selepas habis satu kitaran haid. Maksudnya waktu wanita subur. Wanita subur adalah pada hari ke-14 dalam satu kitaran haid. Satu kitaran haid dikira pada hari pertama wanita mengalami haid. Ia dikira sampai hari ke-14. Masa itulah masa yang paling sesuai untuk bersenam.

Kajian yang dilakukan terhadap sekumpulan wanita di Australia mendapati bahawa dari hari pertama proses ovulasi sehingga haid yang seterusnya, penghasilan hormon estrogen dan progesteron adalah sangat tinggi. Biasanya tubuh akan membakar karbohidrat untuk dijana sebagai tenaga. 

Rahsianya, pada minggu kedua kitaran haid ini, hormon estrogen akan membenarkan lebih banyak lemak dibakar sebagai tenaga ketika kita bersenam. Pembakaran lemak akan mengurangkan penghasilan asid laktik seterusnya menghindar tubuh dari keletihan dan mengurangkan tekanan pada otot.

Terpulanglah kepada anda bilakah masa yang sesuai untuk bersenam. Tetapi pastikan anda bersenam mengikut peraturan yang ditetapkan. Bersenamlah untuk kesihatan anda!

Monday, November 26, 2012

Orang Itu..

Satu hari, dia termenung seorang diri. Dia bertanya dalam hati, ' Untuk apa aku diciptakan di dunia ini? Adakah aku ini layak untuk hidup di bumi ini atau hanya memenuhkan ruang yang terbentang  luas ini? Aku rasa aku tidak layak hidup di dunia ini.' Bila dia lihat diri sendiri, dia terasa amat rendah diri dan kerdil. Dia merasakan dirinya tergolong di kalangan orang yang boleh dikatakan tidak mempunyai bakat langsung. Selalu dia membandingkan diri dengan orang lain, malah pernah membandingkan diri dengan orang yang dia sayang. Memang terasa amat kerdil. Belum lagi dibandingkan dengan orang-orang lain.

Semasa belajar, dia bukanlah dikategorikan sebagai budak pandai, atau pun orang kata budak pick up. Jika orang lain, dengan baca sedikit masa sahaja boleh 'melekat' di kepala. Dia terpaksa mengulangkaji banyak kali, hanya pada topik yang sama. Jika orang lain dah sampai Z, dia baru je sampai M (tengah-tengahlah).  Dia rasa dirinya tidak berguna. Kena berusaha lebih dari orang lain.

Dia lupa setiap perkara yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Alhamdulillah, walaupun dia lembap, dia mendapat orang itu. Orang itu yang tangkas dan dapat menunjuk ajar tentang cara hidup yang serba mencabar ini. Kadang-kadang jika orang itu tidur, dia merenung dalam-dalam pada muka dan mata orang itu  Dia berbisik sendirian, 'Ya Allah, terima kasih kerana menganugerahkan aku pasangan yang dapat membimbingku di dunia dan akhirat.' Dia selalu berdoa, biarlah dia mati dahulu sebelum orang itu. Dia tidak sanggup! Memikirkannya sahaja pun tidak sanggup!


Jika orang itu sakit, walaupun dia berbuat seperti biasa, tetapi hatinya berdebar-debar dan fikiran negatifnya berlegar-legar dalam otak. Apa yang akan berlaku jika orang itu tiada? Apa yang akan dia lakukan dalam dunia ini jika orang itu tiada? Orang kata, patah tubuh hilang berganti. Tetapi bolehkah diganti serupa dengan orang itu? Muka, bibir, tutur kata serta tingkah laku seperti orang itu? Tentu tiada! Orang pernah kata, tiada yang sempurna di dunia ini. Memang tiada yang sempurna. Tetapi selepas kehadiran orang itulah dia rasa sempurna.



Naluri manusia selalu mencari kelemahan orang lain dan tidak kelebihannya. Dan itulah yang boleh menyebabkan pergaduhan dan perselisihan faham. Tapi bila dia menjauhkan dan mengasingkan diri,  dia kenang kembali perkara baik yang pernah orang itu lakukan padanya. Terus sahaja air mata berlinangan dan merintih, 'Ya Allah, iblis apakah yang merasuk fikiranku?' Dia terus memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana mengurniakan pasangan seperti orang itu.

Jika orang itu membaca rintihannya, adakah orang itu tersentuh hati atau pun tertawa? Tidak kisahlah apa reaksi orang itu, janji dia tahu selain keluarganya dan keluarga orang itu, orang itulah sahaja yang ikhlas dan setiap kelakuan orang itu memang ikhlas dari hati dan bukan dibuat-buat.

Terima kasih dan syukur pada-Mu ya Allah!


Wednesday, November 21, 2012

Kenali Kulit dan Bulu Babi

Ciri-ciri kulit babi secara fizikal:
  • Mempunyai tiga titik atau lubang.
  • Kedudukan tiga titik atau lubang adalah menyerong.
  • Tiga titik atau lubang tersebut berulang-ulang dan tidak seragam.
  • Ketiga-tiga titik atau lubang ini tidak tersusun, tembus ke belakang dan slanting.














Ciri-ciri barang yang diperbuat dari bulu babi:
  • Keras
  • Bercabang pada bahagian hujungnya. 
  • Rupa bentuk fizikalnya bercabang tiga.
  • Kulit babi mempunyai tiga titik yang berlubang. Di setiap lubang tersebut terdapat sehelai bulu yang keluar atau tumbuh. Salah satu bulu tersebut bercabang tiga pada bahagian hujungnya.







Kaedah mengesan dari analisis makmal:

  • Apabila bahan tersebut dibakar, bau yang terhasil adalah seperti rambut terbakar.
  • Menggunakan pelarut khas iaitu 5 peratus sodium hidroksida. Sekiranya ia larut dalam pelarut itu, ia menunjukkan kehadiran ciri-ciri haiwan tersebut.
  • Sampel juga boleh dilihat menggunakan mikroskop sama ada lubang tersebut tembus atau tidak. Sekiranya bahan itu dari babi, ia kan tembus sehingga ke dalam.


Produk berasaskan kulit atau bulu babi biasanya menggunakan beberapa istilah. Antaranya:
  • Pig      : Istilah umum bagi seekor babi.
  • Swine  : Istilah menunjukkan keseluruhan spesis babi.
  • Boar    : Istilah bagi babi hutan.
  • Hog     : Istilah bagi babi liar domestik (Amerika)
  • Sow    :  Istilah bagi babi betina dewasa.
Contohnya:
  • "Pure Boar Bristles Brush" (Berus Bulu Babi Hutan Yang Asli)
  • "This wallet made from hog leather" (Dompet ini diperbuat dari kulit babi)
Istilah-istilah ini penting kerana ia adalah sumber kepada bahan itu tadi. Kebiasaan bagi pihak industri di barat meletakkannya pada label produk. Ini berbeza dengan pihak industri di China atau Taiwan.

Jadi, pilihlah barang dengan berhati-hati. Pastikan logo halal yang diiktiraf sahaja tertera pada setiap barangan yang hendak dibeli. Adik-adik juga perlulah memastikan logo halal adalah tepat seperti berikut:
- Sumber dipetik dari Majalah Asuh

Bahan Fluorida Punca Barah?

                                                                                                                                                                                                                                        Fluorida yang digunakan dalam ubat gigi adalah sisa keluaran industri berat khususnya besi yang boleh menyebabkan barah. Fluorida ialah sisa keluaran industri baja, sejenis racun tikus dan racun untuk menghapuskan semut dan lipas.

Aktivis dari Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Muhammad Zharif Johor berkata, hasil kajian pihaknya bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain mendapati fluorida di dalam ubat gigi dianggap racun tersembunyi yang memudaratkan kerana ia bertoksik dan boleh berkumpul walaupun hanya dengan memberus gigi. Walaupun memberus gigi, kita boleh anggap pengguna menelan bahan toksik tersebut. Ia sangat berbahaya kerana bahan ini dengan cepat mampu mengaktifkan sel barah semulajadi dalam tubuh manusia.

Beliau mengambil contoh di negara luar, Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika (FDA), menganggap fluorida sebagai ubat yang tidak diluluskan kerana tidak ada bukti berhubung keselamatan atau keberkesanannya di dalam penjagaan gigi. Kes lampau berhubung kesan buruk fluorida sepatutnya diambil iktibar yang mana tinjauan telah dibuat pada 1997 dengan bantuan pengeluar ubat gigi serta Persatuan Pergigian Amerika Syarikat. Melalui kajian ini didapati purata orang yang memberus gigi berfluorida walaupun sedikit (1 gram) mengikut sukatan yang disarankan, menelan antara 0.3-0.4 mg fluorida setiap kali memberus.

Ini bermakna, seseorang individu menerima hampir separuh daripada kadar harian fluorida yang diterima cuma dengan memberus sekali sehari, tanpa membabitkan sumber lain. Setiap kali menggosok gigi, sisa industri tersebut akan meresap masuk ke dalam sistem peredaran darah menerusi lapisan mulut.

Penyelidikan yang dijalankan pada pertengahan tahun 1990-an oleh bekas ketua bahagian kimia Institut Penyelidikan Kanser Kebangsaan Amerika, mendapati kira-kira 10 000 kematian akibat kanser yang dikaitkan dengan penggunaan fluorida berlaku setiap tahun di Amerika Syarikat.

Itu kajian di negara luar, negara yang kebanyakan penduduknya bukan beragama Islam. Dalam Islam sudah dinyatakan Rasulullah s.a.w suka bersiwak. Pada zaman nabi mana ada ubat gigi dan berus gigi yang kita guna sekarang. Baginda menggunakan kayu siwak sahaja. Itu lagi bagus dan menjimatkan.

Tapi kalau susah sangat nak cari kayu siwak, terdapat juga ubat gigi tanpa fluorida dijual. Cuma kita kena rajin mencari dan memilih. Kalau untuk kesihatan, tak salah jika kita berusaha sedikit mencarinya. Tak gitu?-sumber dipetik dari Sinar Harian

Taman Chatin, Mentakab, Pahang

Ini ada satu lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di Temerloh. Taman Chatin selalu dikunjungi oleh pengunjung yang ingin berjoging. Memang sesuai untuk aku yang tengah berdiet ni.. Jarak dari bandar Temerloh ke taman ini mengambil dalam 15 kilometer. Tempatnya memang sangat sesuai untuk berjoging. Selain kawasan berjoging, disini disediakan juga taman permainan untuk kanak-kanak, alat senaman, kawasan istirehat, tandas dan kedai makan.


Sampai sahaja, sudah banyak kereta di sini. Nak cari parking pun susah. Jadi, kena datang awallah ye.. Memang ramai yang datang beriadah di sini. Sama ada untuk bersenam dan membawa anak-anak bermain.













Kadang-kadang ada juga beberapa remaja datang bermain bot kawalan jauh. Memang happening betul. Tapi diingatkan, dilarang memancing walaupun banyak ikan di sini. 


Selain dari itu, kawasan ini juga sesuai untuk pasangan yang baru berkahwin. Kalau nak cari tempat yang sesuai untuk bergambar, taman ini memang sesuai. Adikku yang baru berkahwin tahun lepas pun bergambar di sini sahaja. Memang nampak cantik bila gambar di ambil. Siap tangkap gambar buaian lagi.
 Kawasan ini memang terjaga. Dua, tiga hari sebelum ni nampak banyak sampah terutama di kawasan bangku rehat. Tetapi hari ini kawasan tersebut kembali bersih dan cantik. Kadang-kadang nak marah pun tak guna. Tong sampah memang banyak disediakan. Tapi macam tak faham bahasa orang-orang ni. Macam budak umur 3 tahun. Takkan nak tulis 'Jangan Buang Sampah di Sini', baru faham kut. Sama-samalah kita menjaga kebersihan ye.


Tuesday, November 20, 2012

Jambatan Gantung di Bandar Temerloh


Dulu masa kecil, kalau pergi bandar Temerloh, memang tak tahu nak jalan-jalan di mana. Jujur dikatakan tak banyak tempat yang boleh dilawati di bandar Temerloh. Tapi itu dulu. Sekarang alhamdulillah. Selain ada kolam tahfiz, ada juga taman rekreasi dan restoran-restoran yang menghidangkan makanan tempatan. 

Salah satu tempat yang boleh pengunjung lawati ialah Jambatan Gantung di Sungai Semantan. Penduduk tempatan di sini memanggil Titi Gantung. Di Jambatan Gantung ini juga ada menceritakan sejarah terjadinya nama Sungai Semantan. Dahulu tinggal seorang lelaki yang pandai dalam ilmu persilatan yang bernama Osman. Tetapi penduduk di situ memanggilnya Seman. Disebabkan tahap persilatannya yang tinggi, ramai pemuda di sekitar kampung tersebut ingin berguru dengan beliau. Kemasyhuran dan kekebalannya telah menjadi bualan ramai sehingga penduduk menggelarkannya Seman Tahan. Disebabkan kepelatan penduduk, lama-kelamaan tempat tersebut diberi nama Semantan.

Berbalik tentang Titi Gantung, tidak ramai yang tahu akan titi gantung ini kerana titi ini baru sahaja dibina. Tiada bayaran dikenakan. Pengunjung boleh menyeberang titi gantung sebanyak mana yang mereka mahu. Terdapat juga gerai makan dan gerai mainan untuk kanak-kanak. 

Memang seronok menyeberang titi tersebut. Tetapi ada satu perkara yang kurang menyenangkan iaitu tentang kebersihan yang kurang terjaga di sini. Kita tidak sepatutnya mengharapkan pihak berkuasa sahaja yang membuang sampah dan menjaga kebersihan. Pengunjung juga mestilah bersama-sama menjaga kebersihan kawasan tersebut memandangkan kawasan tersebut berdekatan dengan sungai.

Apam Tepung Gandum

Mesti pelik dengan tajuk ni kan? Selalunya orang akan buat apam menggunakan tepung beras. Tapi yang ini, apam yang diperbuat dari tepung gandum. Resipi ini diambil dari mak. Mak memang pandai mereka-reka resipi. Kepakaran mak, bila dia rasa je sesuatu makanan tu, mak sudah tahu, bahan-bahan apa yang dimasukkan dalam makanan tersebut. Bila mak balik rumah je, mak boleh buat makanan tersebut. Bila tak jadi, mak akan ubahsuai resipi tersebut sampai menjadi. Sayangnya, aku tidak mewarisi kepakaran tersebut. Selalunya aku ni ambil resipi dari mak je atau pun cari di internet dan buku-buku resipi. Dah la tu, ikut bulat-bulat dalam buku tersebut. Tak pandai tukar-tukar. Jauh sungguh dari makku.

Mak ada cerita, masa aku tadika dahulu, aku memang suka apam ni. Tiap-tiap hari minta mak buat bekal apam. Sampai satu hari tu, aku kena gastrik, sampai muntah-muntah. Cikgu tadika tegur mak. Dia kata pagi-pagi, perut tengah kosong jangan bagi makan apam. Makan benda lain dahulu. Tu yang boleh buat sakit perut. Sejak kejadian tu, mak tak pernah buat apam kat aku. Kalau tiba-tiba abah teringin nak makan, barulah mak buat. Itu pun mak buat sorok-sorok. Tak bagi aku nampak. Takut sakit perut pulak. Patutlah Nina suka betul makan apam. Keturunan rupanya...

Ok lah, di sini diturunkan ilmu bahan-bahan dan cara-cara membuat apam tepung gandum...

Bahan-bahan:
1 kg tepung gandum
1 peket mauripan
gula 
air
secubit garam

Cara membuat:
  • Mula-mula kacau mauripan bersama air dan gula. Gula ikut rasa. Jangan terlalu banyak gula. Bila terlalu banyak, apam susah nak naik. Letak dalam 1 cawan dahulu. Kacau bancuhan tersebut sampai butiran mauripan hilang dan mengeluarkan buih.
  • Bila bancuhan sudah sebati, masukkan secubit garam sebagai syarat sahaja.
  • Kemudian masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit. Pastikan adunan sebati. Tambah air jika perlu. 
  • Kacau adunan sehingga menjadi doh. Jadikan doh seperti membuat cekodok ataupun jemput-jemput. Bila ditarik sudu, dohnya tidak terputus.
  • Bila sudah siap, tunggu sebentar sehingga doh mengembang.
  • Sementara menunggu adunan mengembang, panaskan air dalam periuk kukus. Bila air tersebut mendidih, baru boleh dikukus adunan tersebut.
  • Bila sudah naik dan mengeluarkan gelembung-gelembung udara, adunan tersebut dikacau untuk mengurangkan gelembung-gelembung tersebut.
  • Masukkan adunan dalam bekas yang sesuai. Jangan masukkan terlalu penuh.
  • Kemudian letakkan di dalam periuk kukus. Tunggu dalam satu jam. Jangan buka penutup periuk kukus sehingga siap kukusan selama satu jam. Bimbang apam tidak menjadi dan tidak cantik. 
  • Bila sudah sejuk, bolehlah dimakan..Nyum2...

Apam dah nak habis, baru terfikir nak tangkap gambar. Suka betul Nina makan apam. Tengah-tengah malam pun minta Tok Wan buat lagi. Ish2...

Monday, November 19, 2012

Bahaya Berat Turun Drastik

Penurunan berat badan secara drastik terlalu bahaya untuk kesihatan. Apa gunanya kurus langsing tetapi ditimpa pelbagai penyakit. Cara begini boleh mendatangkan kesan sampingan seperti muka pucat, pening kepala, keletihan kulit berkedut dan menggeleber. Lebih baik jika lakukannya secara berperingkat dan pastikan pengambilan air mencukupi.

Berdietlah dengan cara sederhana agar anda bukan sahaja dapat melangsing dan menurunkan berat badan tetapi dalam masa yang sama juga dapat memastikan tubuh badan berada dalam keadaan sihat dan cergas. Terdapat beberapa peraturan yang perlu anda amalkan ketika anda berdiet.

Sarapan
Walaupun berdiet, tidak semestinya anda perlu mengabaikan sarapan. Ini kerana, sarapan adalah hidangan penting untuk memulakan hari. Oleh itu, sebaiknya anda tidak melewatkan sarapan. Ini akan menyebabkan anda makan lebih banyak ketika waktu makan utama iaitu ketika makan tengah hari dan makan malam.

Tahukah anda, dengan melewatkan makan ia akan membuatkan anda lapar pada tengah malam. Sekiranya ia berlaku, minumlah air teh herba yang dicampurkan madu. Cara ini dapat mengenyangkan perut tanpa pengambilan kalori tambahan yang tidak penting. Selain itu, anda boleh ambil segelas susu bagi mengalas perut sebelum tidur.



















Makan Perlahan-lahan
Kajian menunjukkan tabiat makan terlalu cepat hanya akan meningkatkan masalah kegemukan. Ia bukan sahaja mengganggu pencernaan dan sakit perut tetapi juga boleh mengganggu diet.

Ketika makan dengan cepat, tubuh tidak sempat memberi isyarat kepada otak bahawa makanan yang dimakan sudah mencukupi. Makan sedikit demi sedikit dan kunyah dengan perlahan sebelum telan.

Jangan Membayangkan Makanan
Jangan jadikan kebiasaan membayangkan makanan ketika berdiet. Ia hanya akan mendorong anda mengambil makanan berlemak dan berkalori dengan kuantiti yang banyak. Untuk mengawal keinginan makan, ambil makanan berserat yang banyak kerana ia melancarkan sistem pencernaan dan memberikan rasa kenyang yang lebih lama.


Jauhi Makan di Tengah Malam
Tahukah anda kadar metabolisme kita rendah pada waktu malam. Ia membuatkan lemak lebih mudah berkumpul. Tetapi kebanyakan gerai dan restoran di Malaysia dibuka 24 jam sekali gus mendorong anda untuk makan dan minum sehingga lewat malam. Tidak salah untuk melepak bersama teman di kedai-kedai makan tetapi berhati-hati dengan apa yang anda makan pada waktu tersebut.

Elak Makanan Segera
2 juta rakyat Malaysia didapati menghidap diabetes yang kebanyakannya berpunca dari makanan. Kajian menunjukkan hampir keseluruhan murid-murid sekolah menjadi sasaran kepada makanan segera sekali gus mendedahkan mereka kepada penyakit kritikal di usia muda. Ibu bapa sepatutnya memantau pemakanan anak kerana ia akan mempengaruhi corak pemakanan mereka apabila dewasa kelak.


Kurangkan garam dan gula
Pakar jantung mengatkan, pengurangan pengambilan garam dalam makanan merupakan langkah penting untuk mengurangkan kematian akibat masalah jantung. Ini kerana, garam berlebihan menyebabkan kenaikan tekanan darah yangberkait rapat dengan serangan jantung (strok). Selain garam, kurangkan juga gula dalam hidangan anda - Sumber Mingguan Wanita

Sunday, November 18, 2012

Mi Salad Berkacang

Resipi ini diperoleh dari Mingguan Wanita. Tiba-tiba rasa nak tulis resipi ni kat blog. Bila ada peluang, boleh buat. Suka tengok hidangan ni. Hidangannya berkhasiat dan sesuai untuk orang yang tengah berdiet macam aku ni. Dari makan mi segera, baik makan hidangan macam ni. Nak menyediakannya pun cepat. Cubalah!

Bahan-bahan:
1) 1 sudu besar jus limau nipis
2) 3 sudu besar jus oren
3) 5 sudu besar gula tebu kasar
4) 3 ulas bawang putih (dicincang halus)
5) 3 biji cili padi (dicincang halus)
6) 2 camca teh kacang (ditumbuk halus)
7) 200 g mi gandum organik
8) 100 g lobak merah
9)100 g kubis
10) 100 g salad


















Cara membuatnya:
  • Masukkan jus limau nipis ke dalam pinggan.
  • Kemudian masukkan pula jus oren
  • Masukkan gula tebu kasar.
  • Masukkan bawang putih dan cili padi.
  • Kemudian masukkan kekacang
  • Kacau semuanya sehingga sebati
  • Letakkan mi di atas pinggan kemudian susunkan lobak merah, kubis dan salad di sekeliling mi.
  • Tuangkan dressing di atasnya..

Saturday, November 17, 2012

Patin Pahang Masak Tempoyak (Resipi Mak)

Alhamdulillah..hari ni saya masak ikan patin masak tempoyak, makanan kegemaran dari kecil lagi. Sekarang sedang menunggu ikan masak. Jadi sementara menunggu tu, bolehlah saya taip resipi di sini. Lain kali, bila nak buat lagi, boleh rujuk resipi di sini sahaja.

Bahan-bahan:
  • 1 ekor ikan patin
  • tempoyak ( bahan wajib)
  • daun kesum
  • bunga kantan (diambil batangnya sekali)
  • kunyit
  • cili padi dan garam (ditumbuk bersama)
  • Air
Cara membuatnya:
  • Sebelum dimasak, kesemua bahan diperap dalam 10 minit. Ini bertujuan untuk menjadikan ikan dan bahan-bahan tersebut menjadi 'mesra'.
  • Lagi banyak tempoyak, lagi bagus. Tempoyak dilumurkan keseluruhan ikan termasuk dalam ikan tersebut.
  • Selepas 10 minit, ikan tersebut bolehlah dimasak dengan menambah air ke dalam periuk. Air dimasukkan separas dengan ikan
  • Bila dah mendidih, bolehlah dirasa. Jika tempoyak kurang masam, tambah sedikit asam keping untuk menambak rasa masam.
Nyum, nyum...sedapnya bila dah siap. Rasa nak tambah banyak kali. Tak boleh nak berdiet kalau masak sedap-sedap macam ni..hehe

Sebelum digaul

Digaul dan diperap

Setelah siap


4 Perkara untuk Sihat


4 perkara Menguatkan Badan:
  • makan daging
  • memakai haruman
  • kerap mandi
  • berpakaian kemas


4 perkara Menajamkan Mata:
  • Memandang benda yang hijau
  • Duduk menghadap kiblat
  • Bercelak sebelum tidur
  • Berpakaian bersih

4 perkara Menajamkan Fikiran:
  • Tidak banyak berbual kosong
  • Rajin membersihkan gigi
  • Bercakap dengan orang soleh
  • Bercakap dengan para ulama

4 Perkara Melemahkan Badan:
  • Banyak minum air ketika makan
  • Sentiasa cemas
  • Banyak makan makanan masam
  • banyak bersetubuh

4 Perkara Merosakkan Mata:
  • Memandang najis
  • Melihat orang dibunuh
  • Melihat kemaluan
  • Membelakangi kiblat

Boleh buat Maksiat, dengan Syarat..


Dalam kitab al-Tazkirah fi Ahwal al-Mawta wa Umur al-Akhirah oleh Imam al-Qurtubi, diceritakan berkenaan seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk mencari hidayah telah bertemu dengan seorang sufi yang hebat, iaitu Ibrahim Adham.

Beliau bertanya, apakah ada ruang kepada beliau untuk melakukan maksiat. Lalu dijawab oleh Ibrahim Adham: "Kamu boleh melakukan maksiat dengan syarat:

1) Jangan kamu makan rezeki Allah kerana tidak layak orang yang makan rezeki Allah derhaka kepada Allah.

2) Jangan kamu tinggal di bumi Allah kerana tidak layak orang yang tinggal di bumi Allah melakukan maksiat dan penderhakaan kepada-Nya.

3) Buatlah maksiat di tempat yang Allah tidak nampak akan kamu.

4) Sekiranya malaikat maut datang hemdak mencabut nyawamu, maka katakan kepada malaikat maut untuk menangguhkan sedikit masa lagi umurmu supaya engkau sempat bertaubat. Sekiranya engkau dapat melakukan perkara tersebut, maka dipersilakan untuk melakukan maksiat.

5) Sekiranya Malaikat Zalbaniah penjaga neraka datang hendak mengheretmu ke dalam neraka, maka katakan kepadanya bahawa kamu tidak akan mengikutnya. Sekiranya engkau dapat berbuat demikian, maka dipersilakan untuk melakukan maksiat."

Setelah mendengar kata-kata tersebut, lelaki itu menangis teresak-esak kerana dia sedar bahawa tidak layak bagi seorang hamba melakukan maksiat kepada-Nya.

Akhirnya, lelaki itu menemui jalan hidayah. Dia bertaubat kepada Allah s.w.t. dengan bersungguh-sungguh. Sejak itu, dia bersegera menuntut ilmu dan beramal dengannya serta menjadi hamba Allah yang soleh.-sumber dipetik dari Majalah Solusi

Friday, November 16, 2012

Kolam Tahfiz, Berhala Gantang, Temerloh



Pagi ini dalam pukul 10, aku beriadah bersama keluarga. Sebelum tunggu diaorang ni bersiap, sempatlah buat roti sardin, bekalan masa beriadah nanti. Dalam pukul 10, kami pergi ke destinasi, iaitu Kolam Tahfiz di Berhala Gantang, Temerloh, Pahang. Perjalanan dari rumah di Mentakab ke Berhala Gantang mengambil masa 10 minit sahaja. Sampai sahaja, sudah banyak kereta di kolam tersebut. Dari jauh aku tengok, boleh tahan juga kolamnya, walaupun tidak se gah Gambang Waterpark ataupun Sunway Lagoon. Lagipun aku suka dengan niat murni tujuan dibuat kolam ini. 

Kolam ini dibina hasil usaha dari Maahad Tahfiz di sini, bertujuan untuk menampung perbelanjaan pendidikan maahad tersebut. Elok juga diaorang buat usaha kutipan duit seperti ini dari meminta derma ke masjid, surau, pasar malam atau pun kedai makan. Dalam Islam pun ada menetapkan, lebih baik berniaga atau bekerja dari meminta-minta. Puas juga anak dan adik-adikku mandi. Hampir pukul 1 petang baru balik. 

Bayaran yang ditetapkan cuma RM3 seorang, itu pun untuk yang mandi sahaja. Yang tak mandi masuk percuma. Sementara tunggu budak-budak ni mandi, sempatlah mak, abah, dan adik yang lain mencuba permainan memanah. RM1 sahaja untuk 3 kali memanah. Sakit jugalah tulang belakang nak tarik tali memanah tu.

Yang bestnya juga, diaorang pun ada buat kolam renang untuk muslimat sahaja. Siap ada  dinding lagi. Tapi masih dalam pembinaan. Nanti cuti akan datang, bolehlah umie pulak mandi kolam ye Nina.hehe

Kolam kanak-kanak
Aktiviti menggelungsur
Tempat istirehat

Aktiviti Memanah
Kolam tahfiz ini juga pernah disiarkan oleh wartawan Sinar Harian. Anda boleh lihat maklumat lanjut tentang kolam tahfiz ini di Keperitan sekolah tahfiz kumpul dana.