Dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu pada masa kini, pengurusan kewangan merupakan perkara yang amat penting lebih-lebih lagi buat mereka yang memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Konsep kewangan ini sebenarnya tidak terhad pada suami semata-mata, malahan melangkaui isteri dan anak-anak.
Anda pasti sudah mempunyai asas pegangan kewangan yang kukuh. Namun bagaimana pula peranan keluarga anda? Mereka juga perlu dididik dengan pengurusan kewangan yang bijak demi kelangsungan hidup di masa akan datang. Jika mereka tiada nilai kasih pada wang, maka kewangan mereka juga akan terus hilang keupayaannya. Oleh yang demikian, berikan pengetahuan buat keluarga anda tentang cara pengurusan kewangan agar mereka lebih menghargainya.
1. Terap nilai dan asas yang kukuh
Ramai ibu bapa gagal mendidik anak-anak tentang asas pengurusan kewangan kerana lebih menumpukan kepada pelajaran dan kehidupan asas semata-mata. Mereka seolah-olah membiarkan anak-anak terus berbelanja dengan memberikan apa sahaja yang diminta oleh anak-anak. Perkara inilah yang perlu diubah. Didik anak-anak anda tentang kepentingan kewangan dan cara berbelanja secara berhemat sama seperti anda mengajar mereka bersolat, membaca dan sebagainya. Sampaikan kepada mereka tentang kepentingan menabung dan elakkan pembaziran.
2. Hargai duit
Anak-anak zaman sekarang tidak lagi melihat ibu bapanya bersusah payah mencari rezeki. Bagi mereka, ibu bapanya mampu menyediakan segala keperluan dan kehendak dirinya. Mereka menganggap wang itu mudah diperoleh pada bila-bila masa sahaja. Jika anda memberi alasan tidak ada wang untuk membeli alasan tidak ada wang untuk membeli, pasti dia akan mempersoalkannya. Jika anda sebagai ibu bapa tidak menerangkan kesukaran untuk mendapatkan wang, nescaya mereka akan terus berfikir bahawa wang itu mudah diperoleh biarpun mereka telah dewasa kelak. Justeru, ceritakan pada anak-anak bagaimana anda bersusah payah bekerja untuk mendapatkan duit agar mereka lebih menghargainya.
3. Disiplinkan cara berbelanja
Baik buat anak-anak atau isteri anda, penekanan aspek disiplin dalam soal berbelanja dan menguruskan kewangan adalah keutamaan yang perlu dilaksanakan. Bagi si isteri misalnya, minta agar dia memberikan keutamaan terhadap perbelanjaan rumah yang perlu sahaja. Cuba elakkan daripada berbelanja ke arah pembaziran seperti memanjakan anak dengan kemewahan. Bagi anak-anak pula, didik diri mereka agar berdisiplin dalam konteks menyimpan wang dalam akaun simpanan atau tabungan di rumah. Beritahunya agar wang belanja itu jangan dihabiskan sebaliknya perlu disimpan sekurang-kurangya 50 sen sehari ke dalam tabung. Apabila mereka telah biasa dengan tabiat ini, maka secara automatiknya mereka mampu mengawal diri daripada membazir dan belajar berbelanja mengikut kemampuan diri.
4. Elak Menjadi Generasi Hutang
Pengajian di universiti belum lagi berakhir tetapi hutang pengajian telah pun menunggu. Situasi inilah yang sering dialami ramai generasi muda. Apabila tamat pengajian, mereka bukan sahaja berdepan dengan hutang pengajian, malahan turut terjebak dengan hutang dan sebagainya. Jika perkara ini tidak dikawal dari awal, mereka pasti akan dibelenggu hutang dalam tempoh yang lama. Keadaan ini mungkin akan terus berpanjangan biarpun mereka telah berkeluarga kelak. Oleh itu, sebelum anak-anak anda terjebak dengan masalah ini, bimbinglah mereka tentang kepentingan menabung dan merancang kewangan sejak dari awal lagi. Biarpun anak-anak telah meningkat dewasa, jangan biarkan mereka terumbang-ambing dalam menguruskan kewangan mereka.
5. Tanam sifat pemurah
Biarpun anda menekankan soal pengurusan kewangan yang bijak kepada anak-anak, jangan pula mengabaikan jati mereka terhadap tanggungjawab sosial. Terapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka tentang sifat dermawan dan menolong rakan-rakan yang susah. Inilah masanya untuk anda mendedahkan anak-anak kepada golongan yang kurang bernasib baik agar mereka sentiasa bersyukur di atas segala kesenangan yang mereka miliki Dengan hadirnya sifat dermawan dalam dirinya, maka dia akan membesar sebagai individu yang memiliki sifat terpuji dan sentiasa menghargai erti sebuah kehidupan. - Sumber dipetik dari Mingguan Wanita
No comments:
Post a Comment